--lA TaHzAn--

Posted by: Siti Nurain (muslimah milik ayah dan ibuku, hamba Allah SWT) / Category: ,


Assalamualaikum,,
Suasana di dalam hati ana hari ini agak suram, ana berasa sedikit terkilan diatas sebab- sebab yang tidak dapat dijelaskan di sini. Ana telah menumpahkan air mata ana di atas dugaan yang menimpa ana. Ana menangis dengan sedih sekali. Namun hati ana tetap tidak tenang. Ana teringat ada orang mengatakan menangis itu terapi. Tetapi nampaknya terapi ini kurang berkesan untuk masalah yang ana hadapi ini. Mungkin cara ana melaksanakan tidak betul..^_^
Setelah itu, ana membaca ayat- ayat suci al- Quran. Alhamdulillah, hati ana lebih tenang dan ana dapat berfikir dengan lebih tenang. Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati kita menjadi lebih tenang. Hati yang runsing, fikiran yang berserabut menjadi lapang dan tenang. Sememangnya, kadang- kala Allah menguji hambanya untuk mengingatiNya. Walaupun masalah ana belum diselesaikan, namun ana sudah lebih tenang dan tiada lagi air mata yang mengalir membasahi wajah ana.

Alang- alang sudah menyentuh tentang cara menenangkan hati yang sedang berduka lara, ana ingin membincangkan hal ini dengan keadaan semasa hari ini. Pernahkah kalian membaca di dada- dada akhbar orang membunuh diri kerana sedih? Sedih kerana ditinggalkan kekasih? Atau mungkin kerana masalah keluarga? Atau mungkin kerana masalah perniagaan? Atau mungkin juga masalah tekanan pelajaran? Pernahkah kalian terfikir mengapa jalan itu yang dipilih oleh orang- orang itu? Ditambah pula yang beragama islam.
Apa yang pastinya, ana berasa amat sedih dan bersimpati pada keluarga insan- insan ini. Mereka mengambil jalan yang pintas tanpa memikirkan tentang kesan tindakan mereka itu. di tambah lagi, bagi insan- insan yang beragama islam, sudah terang lagi bersuluh membunuh diri adalah tergolong di dalam perbuatan yang berdosa besar hukumnya.
Masalah ini amat berat dan harus diberi perhatian yang lebih oleh semua pihak. Ibu bapa contohnya, haruslah memastikan anak- anak sentiasa diberi perhatian sewajarnya. Ajarlah anak- anak agar menjadi insan yang tabah dan tidak mengambil jalan yang pintas di dunia tetapi di akhirat nanti......perkara yang penting yang harus diterapkan pastinya mengajar anak- anak mengenal agama dengan baik bukan sekadar keperluan untuk lulus periksa di sekolah semata- mata. Ajarlah anak- anak untuk mengenal apa itu dosa besar dan dosa kecil agar mereka menjauhinya. Ajarlah anak- anak merujuk kepada agama apabila berdepan masalah bukan merujuk perkara yang salah. Sesetengah anak- anak muda lebih gemar berpeleseran apabila berdepan masalah contohnya tekanan belajar. Ajar anak- anak membaca al- Quran. Sesetengah ibu- bapa memandang enteng perkara ini, kononnya dengan alasan anak- anak masih kecil, tidak perlu terlalu tergesa- gesa. Kalau tidak sewaktu kecil, bilakah masanya yang sesuai. Bukankah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ambil langkah sekarang dari menyesal di kemudian hari.
Di zaman yang serba canggih ini terlalu banyak dugaan dan godaan. Andai hati tidak kental mudah terjerumus ke lembah yang menyesatkan. Sekali terjebak, sukar untuk berundur kerana mata, hati dan jiwa telah dikaburkan oleh hasutan syaitan. Bukankah lebih baik mencegah dari mengubati?
Jika dibaca di akhbar mahupun di internet, beristighfar panjang kita semua, banyak sekali maksiat yang berlaku di depan mata kita. Tetapi ada antara kita yang pura- pura tidak nampak. Bangunlah dari lena itu. bangun dan saksikan kehancuran yang berlaku di depan kita semua. Janganlah seperti sudah jatuh baru nak terngadah.
Anak- anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Jangan disia- siakan. Bentuklah agar anak- anak anda tidak tergolong di dalam insan- insan yang melakukan perkara- perkara yang dilarang.
Kembalilah kepada apa yang sepatutnya. Nasihat ana, andai terasa sedih mengadulah kepada-Nya. Janganlah bertindak tanpa menggunakah akal yang dianugerahkan kepada kita. Kita dibezakan dari haiwan kerana memiliki akal. Gunakan akal sewajarnya. Banyak cara kita boleh lakukan, contohnya, dengan membaca al-quran, bersolat dan berzikir. Insyaallah kita akan menjadi tenang. Dan apabila kita lebih tenang, barulah kita dapat membuat keputusan yang terbaik. Insyaallah. Amin.

--Gambar-gambar diambil dari iluvislam.com--


0 comments:

Post a Comment