--BeRsYuKurLaH--

Posted by: Siti Nurain (muslimah milik ayah dan ibuku, hamba Allah SWT) / Category:



Assalamualaikum, ana terpanggil untuk menulis lagi tentang kesilapan yang ana mahu kalian jangan ulangi. Walaupun ia mungkin kesalahan yang tidak melibatkan orang lain, namun ia melibatkan jiwa ana sendiri. Sememangnya manusia tidak lari dari melakukan kesilapan, namun kita perlu saling mengingati antara satu sama lain agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Ana bersyukur ana sudah menyedari perkara ini. Ana berusaha untuk menjaga hati ibu bapa ana dengan sebaiknya. Bukan mahu membuka pekung di dada tetapi sebagai peringatan sesama kita agar tidak mengulangi kesilapan ini.
Sebelum ini, ana sering mengomel tentang kekurangan diri ana. Ana seperti tidak bersyukur dengan apa yang ana miliki sedangkan kini ana sedar ana adalah cukup bertuah dilahirkan sempurna tubuh badan, sihat dan keluarga ana masih mampu menampung kehidupan ana sehinggalah kini ana sudah hampir menamatkan pengajian ana yang tinggal beberapa bulan. Dahulu, walaupun ana tidak merungut kepada ibu bapa ana tentang kesusahan yang kami alami, tentang keinginan ana yang terpaksa disimpan didalam hati kerana tidak mampu untuk membeli namun ana sering merajuk hati dengan ibu bapa ana kerana tidak dapat memiliki. Kini, ana sedih kerana ana pasti tindakan ana dahulu tentu melukakan hati ibu bapa ana. Ibu bapa mana yang tidak mahu memenuhi kemahuan anak-anaknya, namun kerana ketidakmampuan mereka terpaksa menolak. Betapa ana bersalah kerana pernah melakukan itu. Kadang-kadang ana akan memahami apabila tidak dapat apa yang ana mahukan namun kadang kala nafsu menguasai diri dan ana tanpa sedar melukakan hati ibu bapa ana.
Selain itu, ana sering mengadu ana ini tidak cantik dan tidak layak berkawan dengan sesiapa. Sedangkan ana memiliki tubuh badan yang lengkap dan sihat. Ana menjadi takbur, ana mahu lebih cantik dari apa yang dianugerahkan Allah SWT dan ana mula memakai pelbagai produk sehingga kulit ana menjadi sensitif. Betullah apa yang diberi tuhan sudah cukup indah dan sebaiknya untuk hambanya. Sedangkan dulu kulit ana licin dan tidak perlu memakai apa-apa produk tetapi kerana inginkan kulit yang cerah (ana berkulit sawa matang dan sedikit gelap) kulit ana kini perlukan penjagaan yang khas kerana sensitif. Jika difikirkan kini ana terpaksa mengeluarkan lebih perbelanjaan kerana kealpaan ana sendiri.
Di sini, ana ingin menasihatkan bersyukurlah dengan apa yang dianugerahkan Allah SWT kerana Dia hanya memberikan apa yang terbaik untuk hambanya. Andai ada yang kita rasakan kekurangan fikirlah tentang insan yang lebih kurang dari kita. Andai kita fikir kita tidak cantik, bersyukurlah kerana kita dikurniakan dengan sempurna. Biarpun kita kekurangan dari segi sesuatu, Allah SWT itu maha adil, pasti kita ada kelebihan yang orang lain tidak ada. Bersyukurlah dengan segala yang kita miliki. Belajarlah untuk bersyukur dengan apa yang kita miliki dari mengukur apa yang kita tidak miliki. Andai kita memiliki kekurangan belajar untuk memperbaiki bukan  merosakkan. Ada kekurangan yang harus kita terima kerana itu sebenarnya bukan kekurangan tetapi mainan nafsu untuk menguji tahap keimanan kita. Ada kekurangan yang harus ditingkatkan seperti perlu belajar lebih rajin untuk membaiki keputusan peperiksaan. Nah, itulah yang harus dibaiki. Allah SWT memberi kita akal untuk kita berfikir baik dan buruk sesuatu hal dan perkara serta agar kita mampu mengawal tindakan yang bakal kita lakukan. Selain itu, janganlah kita menggunakan kelebihan kita untuk kejahatan seperti wanita yang cantik menggunakan kecantikkannya untuk menggoda lelaki- lelaki yang tidak kuat imannya, begitu juga lelaki- lelaki yang kaya menggunakan duit untuk membeli maruah seorang wanita dengan sewenang- wenangnya. Janganlah kita riak dengan apa yang kita miliki. Riak adalah sangat dilarang didalam islam. Sebaiknya gunakanlah kelebihan yang kita miliki untuk membantu insan lain yang memerlukan. Sesungguhnya itu lebih baik dan pastinya mendapat ganjaran pahala.
                                                              
 Psst: belajarlah untuk berterima kasih kepada ibu bapa kita kerana tanpa mereka mungkin kita tidak mampu untuk melihat dunia ini sekalipun. Janganlah sekali-kali merajuk kerana tidak dipenuhi 1 kemahuan kita, tapi fikirlah berapa banyak kemahuan yang dipenuhi sejak kita dilahirkan.


0 comments:

Post a Comment